Tugas Dan Tanggungjawab Pegawai Keselamatan Dan Kesihatan (SHO) | Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (SHO) merupakan orang yang bertanggungjawab yang dilantik oleh majikan bagi mengurus dan mentadbir hal-hal berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.
Ianya sejajar dengan kehendak dibawah Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1997.
Seorang majikan hendaklah melantik, menggaji atau mengambil kerja seorang kompeten yang dipanggil Pegawai Keselamatan dan Kesihatan atau mesra dipanggil Safety & Health Officer (SHO) bagi menjalankan tugas dan tanggungjawabnya menurut standard yang ditetapkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP/DOSH).
TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB
1. Menasihati Majikan
SHO hendaklah menggunakan pengalaman dan pengetahuannya tentang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) yang dipelajari untuk memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada majikannya. Pematuhan terhadap Akta dan Peraturan berkaitan hendaklah diterangkan kepada majikan, penyediaan dokumen KKP dan perlantikkan orang kompeten yang berkaitan.
2. Memeriksa Tempat Kerja
SHO juga perlu memeriksa tempat kerja bagi melihat tahap pematuhan KKP ditempat kerja. Menyediakan laporan pemeriksaan untuk dijadikan panduan penambahbaikan dan dibincangkan didalam mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan bersama majikan dan wakil pekerja.
3. Menyiasat Kemalangan
Walaupun pelaporan kemalangan telah dibuat kepada JKKP namun SHO bersama Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan ditempat kerja perlu melakukan siasatan terhadap kemalangan yang berlaku. Ini adalah kewajipan SHO untuk memastikan penambahbaikan dari segi sistem dan cara kerja untuk disyorkan kepada majikan.
4. Melaksanakan Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
Program KKP yang perlu dijalankan melibatkan semua pekerja untuk meningkatkan tahap kefahaman dan kesedaran mereka mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan tempat kerja. Program ini boleh dilakukan samada menjemput agensi luar atau dalaman.
5. Menjadi Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan (JKK)
Dimana-mana tempat kerja pun, SHO tetap akan menjadi setiausaha bagi JKK di sesebuah organisasi. Tugas SHO dalam JKK bukan setakat mencatit minit mesyuarat tetapi menyediakan dokumen dan menyimpan rekod berkaitan KKP.
6. Menganalisis Data Kemalangan
Setiap tahun, majikan perlu menghantar laporan kemalangan melalui MyKKP. Pelaporan ini dikenali sebagai Borang JKKP 8, dan wajib dihantar samada berlaku kemalangan atau tidak ditempat kerja. SHO boleh menggunakan pelaporan itu sebagai analisis data kemalangan memandangkan SHO adalah orang yang bertanggungjawab terhadap data tersebut.
7. Membantu Pegawai JKKP
Salah satu tujuan SHO dilantik adalah untuk membantu pihak Kerajaan khususnya JKKP untuk memantau dan memastikan tahap pematuhan KKP di tempat kerja. Ketika lawatan ke tempat kerja, SHO dan majikan adalah orang yang dikehendaki turut serta bagi membantu pemeriksaan. SHO juga boleh melaporkan terus kepada pegawai JKKP berkaitan jika terdapat ketidakpatuhan terhadap KKP ditempat kerja.
8. Menyediakan Laporan Aktiviti Berkaitan KKP Kepada Majikan
SHO juga perlu menyediakan laporan aktiviti KKP dan latihan yang dijalankan samada setiap bulan atau mengikut ketetapan yang ditentukan.
9. Menjalankan Lain-Lain Tugas dan Tanggungjawab sebagaimana yang digariskan dalam Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1997.
Kerjaya sebagai Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (SHO) bukanlah suatu kerjaya yang mudah. Lebih-lebih lagi bila majikan dari luar negara seperti China dan Jepun, anda mungkin perlu fasih berbahasa China atau Jepun untuk memudahkan komunikasi antara SHO dan majikan.
SHO dalam bidang Oil & Gas adalah paling popular setakat ini, dengan ganjaran gaji bulanan yang mencecah 5 angka sebulan. Manakala, industri kedua yang memerlukan SHO adalah dalam bidang pembinaan.
Kerjaya SHO terbentang luas peluangnya di Malaysia. Anda tentukan dimana anda selepas ini !
0 Comments